Monday, February 14, 2011

Salam Maulidur Rasul

Pada tarikh 15 Februari 2011 bersamaan 12 rabiul awal tahun 1432 hijrah kita akan menyambut Maulidur Rasul bersempena hari kelahiran Rasul junjungan kita Muhammad S.A.W. Pada hari inilah kita digalakkan banyakkan bersalawat ke atas nabi dan mengamalkan segala sunnahnya. Nabi Muhammad dilahirkan ke dunia ini sebagai manusia agung yang ditugaskan membawa agama Allah iaitu Islam. Beliau mendapat pelbagai tentangan dan dugaan untuk menyebarkan Islam di muka bumi ini. Tanpa mengira penat lelah dan berbekalkan iman yang kuat, beliau berusaha untuk menyebarkan Islam yang menjadi sinar baru kepada seluruh makhluk di muka bumi ini. Jadi sepatutnya tidaklah menjadi keberatan kepada seluruh umat Islam untuk mengingati hari kelahiran Nabi junjungan kita ini.


Perlu diingatkan bahawa mengingati Rasulullah bukanlah khusus pada 12 Rabiul Awal, tapi perlulah diingati setiap waktu supaya kita mendapat syafaatnya di akhirat kelak. Kita juga harus sentiasa bersalawat kepada Baginda dengan kerap seperti dengan petikan Al-Quran ayat 56 Surah al Ahzaab, “Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat kepada Nabi, wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepada nya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.” Jika kita sedar terutama dalam kalangan lelaki bahawa ayat ini sering dibaca sebelum khutbah Jumaat yang menyeru supaya kita bersalawat.


Sesungguhnya Baginda S.A.W merupakan satu contoh tauladan yang terbaik kepada seluruh manusia kerana sifatnya yang mulia. Apalah bagi kita dugaan yang menimpa jika hendak dibandingkan dengan dugaan yang diterima Baginda. Baginda diperangi,dimusuhi,diugut,difitnah dan lain-lain lagi dalam usaha menyebarkan Islam. Oleh itu, marilah kita sama-sama mengamalkan segala sunah Rasulullah dan mengikuti segala perbuatan dan sifat Baginda.


SALAM MAULIDUR RASUL      



No comments:

Post a Comment